Saturday, January 31, 2015

Jauh .

Kadang-kadang kita merasakan beban yang ditanggung tak tertanggung. Mungkin sekali kerana kita tak pernah tahu sakit yang membunuh jiwa yang lain. Katanya pada diri, "Derita ini amat berat untuk aku malah bernafas serasa bagaikan mati." Susah, susah untuk mengungkapkan rasa ngilu yang ada dalam segenap ruang yang tinggal, berbaki hanya untuk merenung dan termenung. Pedih, pedih untuk menzahirkan rasa payah yang bergulung dalam setiap hentaman pada dada, berbekas hanya untuk melahirkan batin yang tersingkap. Semalam aku duduk menyampaikan rasa rindu pada Yang Kuasa. Banyak, banyak aku ceritakan sehingga terbuai dalam syahdu. Setiap titis yang menitis pada benang di bumi aku biarkan terus basah. Biarlah. Biarlah bumi jadi mata yang sudi menyambut ciuman rindu aku. Kesal aku masih berbisa. Lebih bisa daripada yang aku miliki kelmarin, kelmarin yang melihat jatuhnya aku lebih jauh dari dasar bumi memohon simpati. Semalam aku terima hadiah dariNya yang cukup menjadi pasak supaya kukuhnya hati. Hari ini aku dustakan pemberianNya dan lari sejauh-jauhnya sehingga yang mengejar menjadi satu tanda tanya. Aku lah yang mengejar akulah yang dikejar jadi mana satu yang benar? Aku bawa lari bahagia kurniaan Illahi lalu aku bernoda, jauh sekali aku cuba lihat kembali waktu lalu yang pernah aku rengekkan. Hari ini, jika bukan gerak hati, apakah yang mendorong aku untuk melihat semula sejarah lepas yang sangat cantik sekali bagi aku. Sejarah yang melihat aku pada kedudukan seorang hamba yang cukup rendah diri dengan setiap kelemahan. Pada siapa aku berkongsi cerita tentang Dia, dengan siapa aku bercerita tentang Dia, tentang apa yang aku lagukan tentang Dia, dengan siapa aku seka air mata tentang Dia? Dan hari ini aku berkongsi air mata dengan masa. Kenapa yang cantik itu kadangkala dilepaskan secara terpaksa? Kenapa yang baik itu kadangkala dilepaskan secara terseksa? Terlalu cantik bagiku. Terlalu baik bagiku.

Dalam penuh kehinaan dan lebih rendah daripada dasar gelap laut rahsia yang berpenghuni, aku tahu ini masa untuk aku kembali. Sudah jauh aku berjalan sudah jauh aku berlari. Aku pulangkan hati pada pemilik Yang Hakiki.

No comments :