Tuesday, October 9, 2012

Apa dan Siapa Yang Dicari?

Pernahkah satu ketika, bila bangun saja dari tidur, dada terasa amat berat. Nafas mula tertahan-tahan dan hati mula sebak. Dan tak semena-mena, pandangan jadi berombak dan pipi mula panas dan basah. Masa tu, seperti mahu menangis sepuasnya di hujung suara tetapi apa yang termampu hanya mengetap bibir dan menahan nafas supaya esakan tak terlalu jelas.

Kadang kala rasa seperti mahu lari ke tempat lain, ke dunia lain yang tiada satu nyawa pun yang hidup melainkan diri sendiri. Mungkin di sana hati takkan disakiti. Mungkin disana mata takkan dicederakan lagi. Tapi mana mungkin ianya mustahil sedangkan kita hamba Dia dan di bumi inilah kita ditakdirkan untuk hidup dan berjihad bersama hamba Dia yang lain, menjadi khalifah di dunia tumpangan. Mana mungkin ada alam lain yang sudi menerima kehadiran kita? Jadi mengapa mahu lari dari realiti sedangkan di sini kita perlu cari ketenangan abadi dan cinta hakiki?




Kita bernafas dalam udara yang sama. Maka dugaan dan ujian itu datang bersama-sama. Semua orang ada derita. Semua orang rasa sengsara. Siapa yang hidup dalam kekecewaan? Siapa yang hidup dalam penyesalan? Siapa yang hidup dalam senyuman? Dan siapa pula yang hidup dalam kebanggaan? Manusia itu sama. Godaan yang diterima modus operandinya sama. Bertujuan untuk mengheret kita ke derita yang sama. Godaan Syaitan, semua orang akan terima. Tetapi dugaan yang mana berhak untuk kita salahkan? Dugaan dari Dia yang kita pertikaikan? Dugaan dari Dia yang kita ratapkan seolah Dia menduga untuk membinasakan kita? Siapa kita untuk pertikaikan kerja Dia? Siapa kita untuk persoalkan ketetapan Dia? Tahukah kita hikmah disebalik setiap sakit di jiwa? Arifkah kita tentang bahagia selepas air mata? Jika cukup bijaksana, tafsirkan setiap derita yang kita terima dan katakan kita tahu derita itu untuk apa.

Waktu kita kecewa, pada siapa kita luahkan rasa? Waktu kita sengsara, pada siapa kita lahirkan sedih yang bersisa? Berceritakah kita pada Dia? Menangiskah kita pada Dia? Merayukah kita pada Dia? Atau terus mencari ketenangan melalui kata2 dan membuka cerita? Kadangkala diri terasa amat malu kerana pernah melahirkan setiap butir perasaan di laman maya. Gunakan kemudahan untuk benda yang ada manfaatnya, kata mereka. Tetapi apa yang aku lakukan? Apa yang pernah aku cari semasa derita? Laman maya? Dunia irama? Malu, aku malu dengan kisah semalam. Aku malu apa yang pernah aku lakukan. Aku malu kerana setiap kali dahi mencium sejadah, aku tak pernah menghargai setiap masa yang aku ada ketika menghadap Dia. Ketika jiwa sedang dekat dengan Dia.




Adakah aku hidup hanya untuk mencari keredhaan manusia? Kerana aku masih mencari jalan untuk menjernihkan keadaan walau sudah nyata aku tidak diperlukan. Adakah aku hidup hanya untuk mencari jiwa bernyawa bernama manusia? Kerana aku masih berusaha merapatkan hubungan walau sudah jelas aku tidak dihiraukan. Kadangkala aku kecewa dengan manusia. Aku kecewa usaha dan segala yang aku lakukan tidak ada maknanya pada pandangan mata mereka, sedangkan aku sentiasa cuba menjaga hati dan rasa mereka, dikatakan pula kehadiran ku membuatkan rasa tidak selesa, malah diceritakan dusta tentang diriku, ditikam dibelakang pula. Tapi aku lupa, pandangan di mata siapa yang perlu aku fikirkan? Manusia atau Maha Esa? Aku terlupa usaha kita jelas di mata Dia. Jadi mengapa perlunya kecewa bila tidak dipandang manusia? Ya, aku terlupa.

Jangan putus asa, kata mereka. Kerana kita masih ada jalan untuk kembali meraih kebahagiaan, walaupun hati seolah semakin jauh dari ketenangan. Siapa kata hidup itu tiada cabaran? Siapa yang datangkan cabaran dan apa yang dicabarkan? Terlalu banyak derita yang aku sudah rasa. 18 tahun, bunyinya sekejap sahaja tetapi bagi aku, jika didatangkan lagi cabaran untuk 18 tahun akan datang, barangkali aku sudah lali. Aku tak menyesal. Aku tak kecewa. Tapi aku bersyukur. Kerana aku tahu jika Dia tak datangkan dugaan, andainya satu hari ujian itu datang, mungkin aku tak mampu nak berhadapan.

Apa yang kita SELALU cari ialah redha manusia. Siapa yang kita SELALU cari ialah manusia. 
Barangkali kita lupa... 
Apa yang kita PERLU cari ialah redha Allah. Dan siapa yang kita PERLU cari ialah Allah.

No comments :