Thursday, October 11, 2012

Kuatkah Kita?

Impresi pertama melihat perkataan kuat, mungkin ada yang mengatakan kuat itu pada fizikal. Bagi yang jiwanya lebih gagah berbanding luarannya, pasti katanya kuat itu pada mental. Bagiku, sama sahaja. Kedua-duanya mampu mengubah seseorang yang biasa menjadi seseorang yang tidak sama dengan orang di sekeliling.

Tak semua orang berdada bidang. Tak semua orang mampu menjulang senjata dan menghunus pedang. Tapi jangan lupa, tak semua orang mampu menyimpan perasaan. Tak semua orang mampu menangis dalam diam tetapi luaran penuh senyuman. Jangan sangka ahli bina badan tak pernah menangis. Siapa tahu rahsia dia di belakang tabir? Dan siapa pula kata badan setebal lidi itu lemah? Barangkali dia mampu menyimpan sakit di hati dan luka di jiwa lebih baik daripada seorang ahli bina badan yang menyimpan ototnya melebihi 20 tahun.

Bercakap soal hati, motifnya, kuatkah hati kita? Kadang-kadang kita cukup hebat memberi nasihat. Cukup berfalsafah sehinggakan kita sendiri menjadi semakin kuat setiap kali bait-bait nasihat kita curahkan kepada orang. Kadangkala, kata-kata yang kita berikan kepada orang yang dibantu lebih banyak mengalirkan air mata kita sendiri berbanding si pendengar. Apa perlunya air mata itu? Mengapa perlunya air mata itu? Entah. Kadangkala diri sendiri pun susah untuk tafsirkan.




Manusia, hakikatnya memang dilahirkan pandai berkata-kata. Jika tidak, masakan nama kita manusia berakal. Apabila berhadapan dengan orang tersayang yang bersedih, sudah lumrah untuk kita turut sama merasakan pedihnya. Terasa ingin sekali kita menyapu air mata mereka dan memeluknya, dengan harapan kekuatan kita mampu berpindah kepadanya. Saat kita terlihat lemahnya mereka, sudah lumrah untuk kita bantu memberi dorongan dan nasihat, atau apa2 saja yang termampu. Sedaya upaya kita usaha untuk mengembalikan senyuman mereka. Melimpah ruah kata2 semangat dan nasihat. Kadangkala kita sendiri yang menjadi semakin kuat membaca nasihat kita sendiri.

Tetapi mengapa semasa kita yang lemah, mengapa bukan kita minta pertolongan pada diri sendiri untuk mengubat duka? Mengapa tidak kita sendiri menghantar pesanan ringkas pada diri kita sendiri, pesanan untuk kuatkan hati dan jangan pernah mengaku kalah. Mengapa tidak kita sendiri memujuk lembut di bahu dan memeluk diri sendiri, dengan harapan pelukan itu mampu mengeringkan air mata tak henti2. Kita takkkan mampu. Adakah kerana kita sombong? Adakah kita berlagak dengan diri kita sendiri dan tidak yakin dengan kekuatan dalam diri? Bukan. Bukan kerana kita sombong. Bukan kerana kita tidak yakin. Tetapi kerana kita manusia yang lemah. Kita perlu dorongan manusia di sekeliling. Kita sentiasa mahukan perasaan dihargai orang sekeliling. Kita manusia yang kadangkala mahukan jeritan hatinya didengari. 




Kita mungkin kelihatan kuat dihadapan orang yang sedang lemah. Tetapi jangan lupa, kadangkala kita juga lemah dan saat itulah, orang disekeliling kita akan menjadi sangat kuat kerana kita. Lumrah untuk kita berdiri dengan gagah untuk melindungi orang yang disayangi, mahupun manusia lain disekeliling kita. Tapi kita juga manusia. Segagah mana pun kita sewaktu menyusup ke dalam jiwa orang yang bersedih, satu ketika, kita akan menjadi serapuh-rapuh kayu yang telah terbakar. Dan waktu itu, menangislah, kerana orang yang menyedari kewujudan kita akan berdiri untuk melindungi kita daripada terluka untuk kali yang seterusnya.

Hati itu kurniaan Allah. Dia yang menciptakan hati untuk kita hargainya. Untuk kita belajar mana yang buruk dan mana yang baik. Untuk kita faham mana yang sayang dan mana yang benci. Kita tidak dilahirkan dengan hati yang ada tahap ketahanannya. Orang itu tidak dilahirkan dengan hati yang keras. Orang itu pula tidak dilahirkan dengan hati yang rapuh. Itu adalah tugas kita sendiri untuk menjadikannya hati yang bagaimana. Yang mampu menepis segala jenis perasaan ataupun yang sentiasa rebah dan hancur di setiap perkara yang menyakitkan. Dan untuk aku, bukan aku dilahirkan dengan hati yang sangat kukuh tetapi tidak pula dilahirkan dengan hati yang teramat lembut. Cuma cukuplah bagiku jika aku mampu berada disisi mereka yang bersedih dan membantu mereka, dan cukuplah juga bagiku jika aku mampu menerima kata2 semangat daripada orang sekeliling waktu aku kecewa . 




Kadangkala aku sendiri menangis membaca setiap pesanan yang aku tujukan kepada mereka.
Kerana kadangkala, aku sendiri tidak mampu mengubat luka sendiri dan meyapu air mata.

No comments :