Assalamualaikum. Lama jugak rasanya tak menulis ni. Idea memang banyak tapi sebab hari tu tak dapat elaun lagi jadi broadband tak dapat dibayar maka tak dapat mengakses internet. Dan juga jadual yang padat memaksa diri untuk melupakan hasrat untuk berblog. Maka idea yang mencurah-curah kering sebegitu sahaja. Oh ya, malam ni terasa nak menulis sekali lagi.
Oh ya kita bercakap tentang sekolah pemikiran bangsa, keterbukaan dan corak perjalanan kita. Saya secara umumnya seorang pelajar Asasi TESL, yang sedang sibuk mempelajari dan menyelidik bahasa penjajah. Ya, saya menuturkan bahasa pemusnah adab Melayu. Saya sedang mengkaji bahasa perampas takhta raja2 dan sultan2 kita satu masa dulu. Maka secara rasminya saya seorang anjing penjajah.
Jujur saya katakan, saya amat2 terkesan apabila orang kata bahasa Inggeris menggambarkan tahap intelektual seseorang. Oh sekarang IQ kita disukat menggunakan kepakaran, kefasihan dan kekerapan berbahasa. Bagaimana pula dengan kecekapan, kemahiran dan kematangan tindakan dan fikiran kita? Mungkin sekadar perhiasan tambahan kita.
Ohh biar saya terangkan. Memang ya, saya yang pilih untuk meneruskan pengajian Asasi Bahasa Penjajah. Saya yang berdoa semoga temuduga saya berjalan lancar dan semoga lidah penjajah saya berfungsi dengan baik. Tapi saya juga ingin katakan, tolong bezakan antara obsesi, keinginan dan keperluan. Saya tak pilih Law sebab saya tak pandai berhujah. Saya tak pilih Engineering sebab saya lemah Physics. Saya tak pilih Chemical Engineering sebab saya tak suka Chemistry. Saya tak pilih Art sebab saya buta seni. Jadi apa pilihan yang saya ada? Saya pilih TESL sebab itu lah antara kemampuan saya yang mungkin dapat membantu masa depan saya. Menyedihkannya saya terpaksa memilih laluan penjajah.
Melayu dan sekolah pemikiran. Masih ada yang tergantung di bibir kesempitan pemikiran. Kita bukan maju seperti Jepun yang membangun dengan bahasa dia sendiri. Ya, saya menulis dalam bahasa Inggeris. Saya tweet dalam bahasa Inggeris. Saya kadangkala bertutur dalam bahasa Inggeris. Tapi itu tak bermakna saya menghapuskan bahasa Melayu dari kamus intelektual saya. Itu tak bermakna saya mengeringkan bahasa Melayu dari kotak suara saya. Dan jujur saya katakan, saya BENCI perosak bahasa Melayu. Ayah saya seorang pejuang bahasa Melayu jadi unsur asing mana yang mungkin dia cuba untuk terapkan dalam minda anak2 dia?
Kalau kita menuturkan bahasa Inggeris kerana ingin menunjukkan kononnya tahap intelektual kita tinggi, maka jangan belajar Physics kerana pelajar Engineering hanya ingin dapatkan status IR. Jangan sambung dalam bidang Science kerana pelajar Medic hanya ingin dapatkan jawatan DR. Jangan sambung pelajaran dalam bidang Chemistry semata-mata mahu menjadi Professor. Jangan sambung dalam bidang Seni, bidang Undang-Undang dan segala macam bidang ilmu dalam dunia ini. Secara mudahnya, tak perlu belajar. Begitu?
Hebatnya kita mengukur tahap intelektual seseorang. Itulah Melayu, sibuk memperkatakan tentang orang lain, sibuk dengan urusan orang lain, sedangkan diri sendiri belum habis dikhatamkan. Bila ditegur, melenting. Bila dia kurang sikit, semua busuk hati ingin menjatuhkan orang lain. Hina. Kutuk. Haih. Sampai bila lah kita nak begini. Ya, memang bukan semua berfikiran sebegini. Cuma kita tak mahu ada Melayu yang terus hidup pagi petang di kedai kopi. Kita belajar kerana Allah. Jadi apa sekalipun bidang yang kita ceburi, tiada salah dan hinanya selagi tak memeseongkan akidah.
Dan akhir sekali, saya Si Penuntut Bahasa Penjajah, memohon maaf andainya 'tahap intelektual' saya terlalu tinggi sehinggakan saya sering berbahasa Inggeris. Jangan marah andainya selepas ini tweet atau post blog saya panjang dan kelihatan baku kerana jika saya menulis dalam bahasa Melayu, insyaAllah saya akan cuba untuk elakkan kepincangan bahasa.
Assalamualaikum warga intelektual :)
No comments :
Post a Comment