Saturday, May 19, 2012

Memotong Jiwa.

Mahu pisahkan badan kepada 10. Boleh diagihkan ke tempat jiwa pernah abadikan. Mak ayah, saya tinggalkan satu untuk rumah boleh?

Sebab aku rasa jiwaku selamat dan terbela di rumah sendiri. Di mana semua menghargai dan menyayangi sepenuh hati. Dan untuk terus mengabadikan rasa cinta yang dalam untuk darah daging sendiri. Yang melekat dan bersambung dengan organ yang mengepam darah setiap hari. Terus ke setiap ruang dalam diri. Aku belum pernah sunyi. Masih ditemani cinta hati.

Dan jiwaku terus bersemadi bersama kekasih hati. Yang membela hari2 untuk aku terus lalui. Ya, mereka bukan bidadari yang datang membawa seri dan janji. Sekurang-kurangnya memeriahkan kekosongan di hati. Bukan hanya menampal luka di jari. Tapi melindungi luka merah hati daripada terus disakiti. Dan walau darah tidak berhenti, sekurangnya garam tidak ditambah menambah denyut di nadi.

Aku tinggalkan sedikit jiwaku bersama isi bumi. Yang pernah memberi warnawarni dalam diri. Walapun terkadang tak lebih dari sekadar luka bersama memori. Dan ada juga datang mencalit benci seperti daging yang berduri. Tetapi bukan tidak ada yang datang dengan cara berseni. Ada yang buat aku rasa dihargai. Seperti bukan memberi kasih seorang diri.

Dan di sini, jiwaku yang utama masih milik yang Hakiki. Yang menemani tatkala dunia merobek sendi. Yang mendengar tatkala semua orang berlakon tuli. Yang memahami tatkala manusia menyepi sendiri. Dan yang lebih menyayangi tatkala manusia terlalu mencari yang tidak pasti. Air mataku masih menitis di setiap sepi. Dan aku tahu walaupun sesaat takkan pernah ia berhenti. Kerana itu aku akan terus mengemis cinta suci dan sejati. Setiap kali sejadah dicium dahi. Masih kerdil dalam dunia yang terlalu bergerigi. Dia yang Mencipta dan Memiliki. Setiap zarah dalam diri seorang insani. Ku hambakan diri.

Dan kini aku selesai membahagi-bahagi. Moga jiwa tak lagi sepi. Ke lautan ilmu membawa diri. Aku ingin mula berbakti dan mencari cepisan melengkapkan apa yang masih belum dicari. Bersama sejuta cerita dan memori. Tentang manusia, kenangan dan Ilahi.

InsyaAllah, aku akan sentiasa menjaga ukhuwah, iman dan diri. 
Doakan aku tak terpesong ketika menyendiri.

No comments :